scroll text

Jika anak Adam meninggal , maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara , sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat , dan anak soleh yang berdoa kepadanya .

Wednesday, 28 March 2012

5K - " Menuju Alam Perkahwinan "



masalah memilih bakal pasangan hidup , perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing masing . Islam sangat bersifat selektif . sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan . 



Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan . konsep lima `K‘ diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu Kenal , Kelas , Kufu , Kasih dan akhir sekali Kahwin .




KENAL .

kita disuruh kenal / ta’ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran atau fizikal semata-mata . erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya . untuk kenal orangnya , hati budinya , pergilah disuruh dan dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya .

terdapat kisah seorang sahabat Nabi saw , Omar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi .

“ apakah kamu kenal lelaki ini ?

“ ya , saya kenal , ”

“ pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir ? ” 

" tidak pernah . "

pernahkah kamu bermu’amalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia ? pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan , siapa keluarga dan kawan-kawannya ? ” 

itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya . risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya .

pada dasarnya , kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab dengannya .

adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak berbohong . apabila sudah saling mengenali , tolak ansur dapat dibuat dalam apa juga perkara .



KELAS .

kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya . kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama , berjanggut dan berserban sahaja . kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan .

mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam , sentiasa alert , sanggup menerima teguran dan memberi teguran dan saling bersifat membina untuk menjaga akhlak dalam Islam .



KUFU .
kufu amat diberatkan , dari segi pendirian , pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang . jika terdapat keturunan golongan atasan , wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam . begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin , susah untuk seiring dengan keturunan kaya . bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur .

memang betul , soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna . dan tidak seperti kita yang serba cetek . malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga .


 

KASIH .
kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin .

merujuk kepada sebuah hadis : -

“ tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan ”

andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita , perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat Islam .

Rasulullah memberitahu : -

“ pergi lihat dahulu wanita itu , kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu” 

kalau tak berkenan , jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok . kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga .

Hadis Nabi ada menyatakan : -

“ Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEDUDUKAN 
ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan ,
Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN ,
 Allah menjanjikan kemiskinan .
Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN ,
 Allah akan menghina keturunannya dan
 Barang siapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim , 
Allah akan memberkati kedua duanya . ”

keberkatan memang dititik beratkan . apabila nawaitu / niat kita dipasakkan dengan betul . InsyaAllah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi . setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham .



REDHA .

redha terhadap pasangan masing masing adalah penting . 

Rasulullah sering bertanya ,
" apakah kamu redha dengan pasangan ini ? " 

kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur kebaikan dan keburukan . tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita redha dengan pasangan bermakna kita redha dengan kekurangan mereka .



T

10 Tips untuk Pengantin bagi Mendapatkan Gambar Terbaik.

semasa majlis akad nikah :

pengantin perempuan jangan duduk terlalu jauh ke belakang dari pengantin lelaki semasa majlis akad nikah .  ini adalah untuk memastikan jurugambar dapat memasukkan gambar kedua-dua pengantin di dalam satu gambar untuk shot-shot tertentu . jika tidak pasti kedudukan yang sebenar untuk pengantin perempuan , sila bertanya dengan jurugambar terlebih dahulu .
bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan , kurangkan memandang ke bawah atau terlalu menunjukkan muka yang serious . perasaan gementar , gemuruh dan sebagainya adalah perkara biasa dalam majlis pernikahan . kadang-kadang sedikit ‘ lakonan ’ yang menunjukkan kegembiraan sebenarnya dapat mengurangkan perasaan gemuruh ini . disamping gambar-gambar yang menarik , perasaan gemuruh anda mungkin akan hilang sedikit demi sedikit .



tunjukkan kecerian anda walaupun perasaan gemuruh masih ada .

pastikan anda sampai awal di masjid , sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan . pastikan juga semua dokumen yang diperlukan diperiksa terlebih dahulu . kekalutan akibat tiba lewat atau tertinggal dokumen penting akan memberi kesan kepada gambar-gambar anda nanti . disamping perasaan gemuruh yang sedia ada , anda mungkin akan merasa ‘ down ‘ dan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada jurugambar yang bertugas dari segi interaksi anda dengan jurugambar .

cara terbaik untuk kelihatan ceria semasa majlis akad nikah adalah dengan membawa 3 atau 4 orang rakan yang betul-betul rapat dengan anda . percaya atau tidak perasan gemuruh anda akan hilang tanpa anda sedari . pastikan rakan-rakan anda ini sentiasa bersama anda dari mula hingga akhir majlis .


kehadiran teman-teman rapat boleh menambahkan lagi kemeriahan .


semasa majlis persandingan :

pastikan jurugambar anda diberitahu terlebih dahulu tentang aturcara majlis . ini adalah amat penting jika majlis anda terdapat acara-acara tambahan seperti pertunjukkan silat , tarian dan sebagainya yang mungkin penting bagi jurugambar untuk membuat persediaan dari segi ‘ shooting angle ‘ dan sebagainya .

sila beritahu jurugambar anda jika terdapat jurugambar lain atau pun anda ada menempah juruvideo berasingan . ini adalah untuk memudahkan jurugambar anda bekerjasama dengan jurugambar / juruvideo tersebut . cara kerja dan ‘ style ‘ yang berlainan kadang-kadang boleh menyusahkan kedua-dua pihak . perkara terbaik adalah dengan memberitahu dahulu nama-nama jurugambar / juruvideo yang turut bertugas di hari majlis anda . perbincangan awal mungkin boleh diadakan untuk memastikan proses merakam hari bahagia anda berjalan lancar .

di samping jurugambar / juruvideo tambahan , kehadiran jurugambar-jurugambar lain dikalangan saudara-mara dan rakan-rakan pihak pengantin jugak kadang-kadang boleh mendatangkan masalah kepada jurugambar yang bertugas . perkara terbaik adalah dengan memberitahu mereka terlebih dahulu supaya memberi laluan kepada jurugambar utama dalam apa-apa situasi pun supaya tiada gambar atau ‘ moments ‘ yang terlepas .




kedua-dua pengantin dinasihatkan supaya mempunyai lebih ‘eye-contact‘ dengan orang-orang sekeliling semasa majlis berlangsung . ini bermaksud pengantin tidak selalu tunduk dan memandang ke bawah sepanjang masa ( sama seperti perkara 2 di atas ) . saat-saat seperti berjalan ke pelamin , semasa bersanding di pelamin dan semasa berada di meja makan beradab adalah saat terbaik untuk jurugambar merakamkan keceriaan dan kegembiraan anda semasa hari majlis .




hari perkahwinan adalah hari untuk anda bergembira .

jika jurugambar anda menetapkan had masa untuk sesuatu sesi atau majlis , pastikan anda peka mengenai perkara ini . ini adalah untuk memudahkan jurugambar anda membahagikan masa untuk sesi-sesi tertentu seperti posing di atas pelamin , dalam bilik pengantin dan sebagainya . Pengurusan masa yang tidak cekap akan membuatkan jurugambar tergesa-gesa mengejar masa dan ini akan memberi kesan kepada kualiti gambar yang dihasilkan . melengah-lengahkan aturcara majlis , leka bersembang dengan rakan-rakan adalah antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan kesuntukan masa . sila berbincang dengan jurugambar anda jika tambahan masa diperlukan .

jika terdapat sesi outdoor untuk hari yang sama selepas majlis , sila pastikan tempat pilihan untuk penggambaran tidak terlalu jauh dari lokasi majlis sehingga mengambil masa berjam-jam perjalanan . ini adalah penting untuk memastikan apa yang dirancang oleh jurugambar dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan . perjalanan yang jauh mungkin menyebabkan kesuntukan masa dan juga boleh menambah keletihan kepada kedua-dua pihak pengantin dan jurugambar .


pilih lokasi terdekat untuk sesi outdoor anda .

Bercerita Tentang Jodoh.



jodoh seperti rezeki , ia telah ditentukan . namun , kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah . dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha . carilah jodoh yang baik , carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga . siapa jodoh kita ? berapa banyak rezeki kita ? dan bila ? itu bukan kerja kita . itu ketentuan Allah . milik kita hanya usaha . jadi , berusahalah dengan baik , Allah pasti tidak akan mengecewakan kita .

ramai yang bercerita tentang tanda-tanda jodoh . insyaAllah ana akan kongsikan sedikit sebanyak antara yang pernah ana baca .

Tanda-tanda kalau dia JODOH kita itu ada dua.

✿~ dipermudahkan .
✿~ mendekatkan kita kepada Allah .



jika tiada kedua-duanya , bermakna dia bukan jodoh kita . makanya bila tanda itu tiba , bukalah mata dan jangan terus dibutakan cinta .

percayalah pada Allah . percaya sungguh-sungguh , jangan ragu-ragu , jangan berprasangka , yakinlah dengan sepenuh hati , ketentuanNya pasti yang terbaik , semoga itu membuat kamu berlapang dada dengan ketentuanNya .

Tanda jodoh dalam Islam itu adalah “ 3M ”.




apa itu " 3M " ?

siapa di antara lelaki mahupun wanita yang boleh memahami, memaafkan dan memotivasikan kita ke arah yang lebih baik InsyaAllah itulah jodoh kita . huraian berkenaan " 3M " adalah seperti berikut :

memahami : -

setiap pasangan mestilah memahami antara satu sama lain . ini penting kerana setiap daripada kita mempunyai latar belakang kehidupan yang berlainan . maka setiap sifat kita mampu mempengaruhi atau dipengaruhi sifat pasangan kita .

memaafkan : -

sifat memaafkan ini amat penting kerana sekiranya tiada sifat ini , nescaya hubungan kekeluargaan tidak kekal lama ( ini yang kita cuba elakkan ) . Lelaki memang lebih egonya , namun jika ingin selamat , buang segala ego demi mempertahankan rumahtangga .

memotivasikan : - 

pasangan mestilah memotivasikan antara satu sama lain . faktor seperti stres , tekanan kerja , masalah kewangan mungkin menyebabkan keretakan rumahtangga , namun sikap memotivasikan ini mampu menaikkan dan memulihkan kembali semangat pasangan anda .

Ada yang cuba mengkategorikan jodoh kepada 3 jenis.


jodoh dari syaitan : -

iaitu lelaki dan perempuan yang berjalan berpegangan tangan dan menuju ke arah kemaksiatan . apabila si perempuan tadi mengandung , barulah si lelaki tadi menikahi perempuan tersebut .

jodoh dari jin : -

iaitu lelaki yang menyukai seorang perempuan yang tidak menyukai dirinya , lalu dibomohkan dan disihirkan perempuan itu untuk setuju berkahwin dengan lelaki tadi .

jodoh dari Allah : -

iaitu pandangan dua pasang mata iaitu lelaki dan perempuan sehingga menusuk ke dalam jiwa . lalu , lelaki itu pun masuk meminang perempuan tadi . perempuan tadi menerimanya . mereka bernikah dan bercinta selepas itu kerana cinta selepas kahwin adalah cinta yang diredhai Allah . bercinta sampai ke syurga .


10 tanda dia jodoh anda.



gunakan seluruh pancaindera . jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang Maha Esa . Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita ? Allah mengurniakan manusia telinga untuk mendengar , mata untuk melihat dan akal untuk berfikir . jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan . dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya . apabila bersama , masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain . lalu gerak hati mengatakan , dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama . benarkah ia seperti yang diperkatakan . 

berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

bersahaja

kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon . cuba perhatikan cara dia berpakaian , cara percakapan , cara ketawa serta cara makan dan minum . adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik . kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya , sah dia sedang berlakon . kadang-kadang , kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon . tetapi , apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat , maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai . jika tidak , dia mungkin bukan jodoh kita .

senang bersama

walaupun kita selalu bersamanya , tidak ada sedikit pun perasaan bosan , jemu ataupun tertekan pada diri kita . semakin hari semakin sayang kepadanya . kita sentiasa tenang , gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita . dia juga merasainya . rasa senang sekali apabila bersama . apabila berjauhan , terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya . tidak kira siang ataupun malam , ketiadaannya terasa sedikit kehilangan .

terima kita seadanya

apapun kisah silam yang pernah kita lakukan , dia tidak ambil peduli . mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan . dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini . yang penting , siapa kita sekarang . biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya , dia tidak ambil hati langsung . yang dia tahu , kita adalah miliknya kini . dia juga sedia berkongsi kisah silamnya . tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita .

sentiasa jujur

dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama . sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita . kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan . kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita . selagi kejujuran bertakhta di hatinya , kebahagiaan menjadi milik kita . apabila berjauhan , kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan . apabila dia tidak jujur , sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita . apabila dia jujur , semakin hangat lagi hubungan cinta kita . kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati . jadi , dialah sebaik-baik pilihan .

saling mempercayai

setiap orang mempunyai rahsia tersendiri . adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung . apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih , adakah rahsia kita selamat di tangannya ? bagi mereka yang berjodoh , sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka . mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain . satu lagi , kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat . bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran . bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya .

senang bekerjasama

bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang , kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini . kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar . segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing . perkara paling penting , kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama . kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama . ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. jika tiada kerjasama , sukar bagi kita hidup bersamanya . ini kerana , kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus . bukankah ini menyusahkan ?

memahami diri kita

bagi pasangan yang berjodoh , dia mestilah memahami diri pasangannya . semasa kita sakit dia bawa ke klinik . semasa kita berduka , dia menjadi penghibur . apabila kita mengalami kesusahan , dia menjadi pembantu . di kala kita sedang berleter , dia menjadi pendengar . dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi . tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka , dia sentiasa ada untuk kita . dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan . kata orang , ‘ lidah sendiri lagikan tergigit , inikan pula suami isteri ’ . pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih . apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka , di saat senang dan susah , dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita .

tampilkan kelemahan

tiada siapa yang sempurna di dunia . tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut . pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu . bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita , dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita . sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya . malah , dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita . misalnya , apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari , dia tidak menghalang kita daripada melawatnya . apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing , memang ditakdirkan kita hidup bersamanya .

kata hati

dengarlah kata hati . kadangkala , manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya . dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing . kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu . apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita , tanyalah sekali lagi . adakah dia ditakdirkan untuk kita ? dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. serahlah segalanya pada ketentuan Allah yang Maha Berkuasa.

mimpi

jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan . manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang Maha Esa . adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon , akan diberi petunjuk melalui mimpi . mimpi memang mainan tidur , tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk , insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk . jika dia pilihan kita , buatlah keputusan sebaiknya . jika tidak , tolaklah dia dengan baik . semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia . ingatlah , nikmat di dunia ini hanya sementara . nikmat di akhirat adalah kekal selamanya . fikirkanlah . adakah dia jodoh kita ?


manusia hanya merancang , 
Allah jualah yang menentukan .

Tuesday, 27 March 2012

Rahsia di Sebalik Kejadian Tubuh Manusia

Allah s.w.t Yang Maha Besar lagi Maha Bijaksana telah mencipta manusia sebagai sebaik-baik ciptaan . Dan di sebalik ciptaan ini , tersimpan banyak rahsia dan hikmah yang tidak diketahui manusia . Rahsia-rahsia yang akan dipaparkan di bawah ini pun hanyalah sebahagian kecil saja darinya . Yang Maha Mengetahui segala rahsia hanyalah Allah Ta'ala .

Sebenarnya , banyak anggota tubuh kita terukir simbol dan tulisan arab , dan lebih tepat lagi , ada nama Allah dan simbol-simbol yang berkaitan dengan Islam padanya . Mengapa tangan kita ada lima jari ? Mengapa batang leher kita dijadikan tegak oleh Allah ? Mengapakah dalam solat mengandungi perbuatan berdiri tegak , rukuk , sujud dan duduk antara dua sujud ? Inilah tanda-tanda kekuasaan Allah pada diri manusia yang jarang disedari .

Nama Allah pada 5 jari tangan.


Sesungguhnya Allah , Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana , Dia telah menunjukkan keagungan-Nya melalui penciptaan lima jari manusia , yang melambangkan huruf-huruf : Alif , Lam , Lam dan Ha yang membentuk kalimah Allah dalam perkataan dan tulisan Arab , seperti dalam gambar di bawah .


Bilangan nama-nama Allah pada tapak tangan.

Jika kita balikkan pula tangan , dan melihat ke telapaknya , maka di situ kita akan lihat urat-urat yang akan membentuk tulisan nombor dalam Bahasa Arab . Nombornya ialah 81 di telapak tangan kiri dan 18 di telapak tangan kanan . Jika dicampur kedua nombor tersebut , jumlahnya ialah 99 .

Dan nombor 99 itu adalah simbolik kepada 99 nama Allah , yang dipanggil sebagai Asma-ul Husna ( Nama-nama yang baik ) .


Jari tangan manusia yang normal ada 5.

Begitulah simboliknya kepada solat wajib yang Muslim mesti tunaikan dalam sehari iaitu solat 5 waktu yang terdiri dari Solat Subuh , Zohor , Asar , Maghrib dan Isyak .

Saluran udara pada paru-paru membentuk kalimah Tauhid.

Ahli sains telah menemui bahawa saluran-saluran udara di dalam paru-paru manusia membentuk kalimah 'La ilaha illallah' ( Tiada Tuhan melainkan Allah ) dalam tulisan Arab . Lihat gambar di bawah , bentuk saluran udara itu betul-betul jelas mengeja kalimah Tauhid itu .

Foto oleh Dr Syed Ashrafuddin , Jeddah , Saudi Arabia

Perbuatan-perbuatan dalam solat adalah simbol bagi nama Nabi.


Berdiri lurus dalam solat melambangkan huruf Alif (ا) , ruku' melambangkan huruf Ha (ح) , sujud melambangkan huruf Mim (م) , dan duduk melambangkan huruf Dal (د) . Ia akhirnya membentuk perkataan Ahmad dalam tulisan Arab , nama Nabi Terakhir yang membawa Perjanjian Terakhir .



احمد = ا + ح + م + د = Ahmad

Ketahuilah bahawa Ahmad ialah salah satu nama lain bagi Nabi Muhammad s.a.w. Dan mengikut sejarah , ibunya Aminah mahu namakan anaknya itu dengan nama Ahmad , tetapi kemudian datuknya Abdul Mutalib memberikannya nama Muhammad .

Walaubagaimanapun , Ahmad dan Muhammad di dalam bahasa Arab maksudnya sama , iaitu ' Yang Terpuji ' .

" Dan ( ingatlah ) ketika Isa putera Maryam berkata : " Hai bani Israil , sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu , membenarkan kitab sebelumku , iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan ( datangnya ) seorang Rasul yang akan datang sesudahku , yang namanya Ahmad ( Muhammad ) " 

( Surah As-Shaaf : Ayat 6 )


Otak manusia dalam keadaan seperti orang sujud dalam solat.

Bentuk otak manusia pun jika diperhatikan dengan teliti akan kelihatan seperti orang yang sedang sujud . Bersesuaian sekali kerana otak berada di dalam tempurung kepala yang digunakan untuk sujud .

Otak berada di bahagian paling atas manusia , tetapi apabila kita sujud , ia berada di tempat paling rendah , menandakan pengabdian kita pada Yang Menciptakan kita . Maka mengapa masih ada manusia yang sombong dan angkuh tidak mahu SUJUD kepada Tuhan yang mencipta kita ?




" Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda ( kekuasaan ) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri , sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur'an itu benar , dan apakah Tuhanmu tidak cukup ( bagi kamu ) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu ? " 

 ( Surah Fusshilat : Ayat 53 )


Nama Allah ketika angkat jari telunjuk pada duduk tasyahhud dalam solat.

Pada duduk tahiyyat akhir dalam solat , adalah sunat kita mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah . Jari telunjuk diangkat menandakan Tuhan yang Esa . Dan perhatikan dalam gambar di bawah , pada urat-urat jari itu akan membentuk kalimah Allah dalam Bahasa Arab , subhanAllah .



Keseimbangan pada perkataan Allah dan Muhammad dalam Bahasa Arab dan kalimah Tauhid. 

الله
= 4 huruf , iaitu Alif lam lam ha'

محمد
= 4 huruf , mim haa' mim dal

dan

لا إله إلا الله
= 12 huruf

محمد رسول الله

= 12 huruf



Sunday, 19 February 2012

Permata Hati Ibu , Izinkan Ibu Bercerita Denganmu.

pernahkah anda mendengar tentang hebatnya ganjaran menjadi seorang ibu ? berjihad di jalan Allah , dihapuskan dosanya , didoakan para malaikat dan pelbagai lagi . subhanallah . besar kan ganjaran buat mereka ? namun , pernahkah anda fikir mengapa mereka mendapat ganjaran setinggi itu ? malah mereka mendapat pengiktirafan sebagai seorang yang berjihad di jalan Allah . bukan calang calang orang yang boleh meraih pengiktirafan itu melainkan benar benar jiwanya berserah kepada Allah swt . baiklah , insyaAllah hari ini ana akan cuba untuk memberikan sebab kenapa mereka mendapat ganjaran sedemikian . semoga dengan ini , kita akan lebih menyayangi ibu kita . insyaAllah .

apabila seorang ibu mengandung , maka beristighfarlah para malaikat untuknya . Allah swt . mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan daripadanya 1,000 kejahatan .

" kini genap 2 tahun ibu  bernikah dengan papa . sudah lama kami menanti kehadiranmu wahai anakku . sehingga akhirnya , kami tidak lagi mahu mengharapkan sesuatu yang tidak pasti . ibu ke kerja , ibu pulang kerja , dan begitulah setiap hari yang berlaku dalam hidup ibu . kini ibu semakin lemah , ibu mudah penat . sehinggalah suatu hari , ibu jatuh pengsan di tempat kerja . sedar sahaja , ibu di katil hospital bertemankan papa disisi ibu . papa tersenyum menitiskan air mata kesyukuran . sayang , kini kami sedar tentang kewujudanmu ! ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan ibu . ibu terkejut , bahagia , gembira , takut , dan perasaan ibu untuk bertemu cahaya sulung ibu tatkala itu membuak buak sayang . tapi kan sayang , izinkan ibu bertanya perasaan sayang kini , jika ibu menghubungi untuk bertemumu sayang , adakah kamu juga mengalami perasaan yang sama ? atau kamu langsung tidak mahu bertemu dengan ibu ?

sayang , selera makan ibu mula berkurangan . ibu mual mual . ibu makan , ibu akan muntah . pada awalnya , ibu tidak selesa dengan keadaan ini , tapi lama kelamaan , ia seperti menjadi aktiviti harian ibu . tidak kira di mana , tanpa dapat disekat . pernah suatu masa ketika dalam mesyuarat bersama boss serta mereka dari syarikat lain , ibu bersendawa . tapi ketika itu , ibu langsung tidak malu sayang . malah ibu mampu berkata , pembawaan anak . tapi sayang , sekiranya ibu bersendawa begitu di hadapan sahabat sahabat sayang , adakah sayang mampu bersuara mengatakan ibu seorang tua yang sudah uzur ?

sayang , muntah ibu semakin teruk . buah mempelam sudah tidak mampu lagi menahan mual ibu . akhirnya , ibu dimasukkan ke wad . ibu kekurangan air . alhamdulillah ilmu yang dipelajari seorang doktor itu mampu menangani masalah ibu . 

kini kamu sudah semakin membesar . selera makan ibu semakin bertambah sayang . macam macam yang ibu inginkan . pernah satu malam , ibu menangis keanakan kerana tidak dapat meniknati mee bandung . mujurlah papa seorang yang sangat penyabar . pelik . sungguh pelik . ibu mempunyai tabiat yang sangat pelik ketika ibu mengandungkanmu sayang . ibu sangat suka mengunyah batang pencungkil gigi . itulah chew gum yang paling lazat pernah ibu makan . sungguh dashyat pembawaanmu kepada ibu sayang . tapi sayang , seandainya kini ibu meminta semangkuk mee bandung darimu , adakah kamu akan sediakan untuk ibu ? sekiranya tidak mampu disediakan , adakah kamu akan merasa sedih ? atau mungkinkah kamu marahkan ibu dengan mengatakan ibu seorang yang mengada ngada ?

seronok . kini perut ibu semakin membesar . ibu ke klinik bersama papa untuk pastikan keadaanmu sayang .   kata papa , dia tak mahu ibu menanti berjam jam di klinik kerajaan kerana dia tahu ibu sudah tidak mampu duduk dalam tempoh yang lama . jadi kami menuju ke klinik swasta . banyak penjimatan kami lakukan untukmu sayang . selesai ibu melakukan pemeriksaan , ibu keluar dipimpin papa . papa minta untuk melihat rekod kesihatan . kemudian , papa dengan selamba berkata ' ratu abang ni dah gemuk ya ' , serentak selepas itu , kamu menendang perut ibu . baiklah kamu pun bersetuju dengan papa ya ? dengan perut yang besar , ibu tidak mampu berjalan laju . mahu merasainya ? cubalah ikat buah tembikai dan berjalanlah kamu ke mana mana selama sehari . tapi untukmu sayang , ibu gagahkan ! ibu perlu pastikan jalan benar benar tidak berkenderaan untuk melintas . ibu tidak boleh berlari dalam keadaan ini sayang atau jika ibu tetap berlari , keadaan ibu tidak ubah seperti seekor penguin . ibu berjalan perlahan keranamu sayang . tapi sayang , sekiranya suatu hari nanti kamu berjalan bersama ibu , sanggupkah kamu meminpin ibu yang ketika itu sudah lemah dan tidak mampu lagi untuk berjalan ?

sayang . maafkan ibu . kerana kecuaian ibu tersilap dalam memilih makanan , kamu menerima padah . 3 hari kita berada di wad sayang . mungkin kerana khuatir kuman akan menjangkitimu , setiap 4 jam ibu disuntik . setiap suntikan yang ibu terima , ibu dapat merasakan pengalirannya dalam setiap urat dalam badan ibu . sayang , itulah suntikan yang paling sakit pernah ibu alami . demi kebaikanmu sayang , ibu sanggup ! tapi sayang , sanggupkah kamu membuat pengorbanan untuk kebaikan ibu ? atau bagimu , tiada satupun kebaikan dalam diri ibu ?

sayang , badan ibu sering sakit . di waktu siang , ibu menanti waktu malam untuk rehat dari sakitnya pinggang , belakang dan pinggul ibu akibat jalan dan duduk . tapi sayang , waktu malam ibu lain pula ceritanya . ia tidak lagi seperti dahulu . susah untuk ibu lena . mengiring ke kiri tidak selesa , mengiring ke kanan pun tidak , terlentang lagi lah tidak sayang . cuba sahajalah meletakkan guni seberat 2 kilo di atas perutmu , dan cubalah untuk tidur sayang . aktif sungguh kamu sayang . kamu suka menendang perut ibu . setiap malam perlu ibu usap usap kamu untuk mengurangkan kenakalanmu . banyak bantal yang digunakan untuk menjadi alasmu sayang . semoga dengan itu , kamu benar benar selesa . sekiranya ibu terjumpa posisi yang selesa untukmu , maka begitulah keadaan ibu tidur sehingga keesokan harinya sayang . sama ada lenguh ataupun tidak , ibu tidak pedulikannya . yang penting , anak dalam kandungan ibu dalam keadaan yang baik . tapi sayang , seandainya suatu hari nanti ibu sudah daif , adakah kamu mahu membantu dan berkorban untuk ibu ?

sayang , harimu semakin hampir . ibu semakin tidak sabar untuk bertemu denganmu sayang . papa juga begitu . berbekalkan simpanan yang kami ada , ibu dan papa bershopping untukmu sayang . banyak yang kami beli . kata orang , bayi akan memerlukan lampin pakai buang sebanyak 5 hingga 6 keping . bayangkanlah sayang kos untuk lampinmu sahaja . kemudian , kami menuju pula ke bahagian mandian . ibu dan papa mengambil masa untuk memastikan belian alat mandimu merupakan yang paling berkualiti . begitu juga dengan susumu sayang . persiapan tidurmu , pakaianmu , semuanya kami sediakan yang terbaik . dengan ini kami mengharapkan kamu akan mendapat yang paling sempurna ketika hadir dalam mahligai ibu dan papa . tapi sayang , mungkinkah sayang akan menyediakan yang sama untuk kami kelak ?

selesai menunaikan solat subuh , air ketumban mula membasahi . ibu terkejut kerana di saat itu ibu tidak merasakan kesakitan . ibu segera memanggil papa , kemudian ibu mencapai hijab untuk menutup aurat ibu . papa pula kelihatan begitu takut ketika mengambil beg serta segala barang keperluan untuk kita . kami kemudiannya tiba di hospital . sungguh sayang , sakit itu hanya Allah yang tahu . tatkala itu , semua urat darah timbul menggantikan kulit wajah . mata yang biasanya putih menjadi merah . sayang , ibu gagahkan juga untukmu . sayang , sungguh ibu tak nak kamu lemas . sungguh , ibu nak kamu lahir dengan selamat . sayang , saintis mengatakan bahawa badan manusia hanya mampu menanggung kesakitan sehingga 45 Del . tetapi semasa bersalin , ibu mengalami sehingga 57 Del yang bersamaan dengan 20 tulang dipatahkan serentak . sakit sayang . sungguh sakit . ibu mengalami sakit ini selama berjam jam sayang . tapi alhamdulillah , ganjaran berjihad pada jalan Allah kini berjaya ibu peroleh . kamu pula menambahkan lagi ganjaran dengan kelahiran yang sempurna , yang mampu memberi cahaya kegembiraan di hati ibu dan papa .

sayang . kini kamu lahir ke dunia . kini kamu sudah dewasa . kini kamu sudah pandai berkata kata . ketika kamu kecil dulu , ibu sering menciummu sayang . ketika kamu dewasa , mengapa tidak kamu mengucup pipi ibu ? ketika kamu kecil dahulu , ibu selalu memelukmu , menyokongmu . tapi kenapa kini kamu tidak sudi untuk memeluk wanita yang telah mengandungkan kamu dengan segala kesusahan dan melahirkan kamu dengan segala kesakitan yang ada ? sayang , dulu ibu selalu menyuruh perkara yang baik , dan kamu mendengar ibu . tapi kenapa kini kamu marah kepada ibu ketika ibu melarangmu berbuat kejahatan ? sayang , dengan segala khudrat yang ibu ada , ibu berjaya melahirkanmu . tapi kenapa dengan segala khudrat yang kamu ada , kamu tidak berusaha untuk berjaya ? sayang , ibu bangga sekiranya kamu menjadi seorang yang berjaya . kejayaanmu akan ibu canang kepada seluruh kenalan . tapi kegagalanmu membuatkan ibu lari dari setiap kenalan ibu . ibu tidak mampu untuk mendongak memandang wajah mereka . "

masyaAllah . sungguh besar pengorbanan ibu . maafkan ana . ana hanya mampu membuat coretan untuk selama tempoh ibu mengandungkan kita 9 bulan . insyaAllah ana akan cuba lagi untuk menulis yang lain . ingatlah wahai anak anak , apa yang kita baca hari ini masih tidak mampu menandingi hakikat sebenar keperitan ibu kita . sahabatku sayang , gembirakanlah hati mereka . balaslah jasa mereka . sentiasalah berdoa untuk mereka . dan pada ketika kita berdoa untuk mereka , bayangkanlah wajah mereka , semoga dengan ini kita semakin menghargai mereka . insyaAllah .





Tuesday, 14 February 2012

Sejarah Valentine Day .

Valentine adalah nama seorang pendeta Nasrani yang hidup di abad ke-3 Masehi . Hari Valentine adalah semata mata perayaan agama Nasrani atau penganut Kristian yang bertujuan untuk mengenang salah seorang tokoh mereka .

Ensiklopedia Katolik menyebut tiga riwayat berkaitan Valentine , tetapi yang paling terkenal adalah apa yang disebutkan sebahagian kitab mereka yang menyatakan bahawa pendeta Valentine hidup pada abad ke-3 Masehi pada masa pemerintahan Maharaja Rom Kalaudis II .

Pada 14 Februari 270 M , maharaja ini menjatuhkan hukuman mati ke atas pendeta tersebut kerana menentang pemerintahannya . Kesalahan pendeta tersebut kerana telah mengajak masyarakat kepada agama Nasrani .

Riwayat lain menyatakan , maharaja memandang bahawa askar bujang lebih sabar dalam peperangan berbanding mereka yang sudah berkeluarga . Para suami selalu berusaha menolak untuk pergi berperang . Oleh kerana itu , maharaja mengeluarkan perintah yang melarang perkawinan , akan tetapi pendeta Valentine menentang perintah itu dan tetap melakukan perkahwinan di gerejanya secara sembunyi , hingga diketahui pemerintah lalu memerintahkan penangkapan terhadap pendeta itu dan memenjarakannya . Dalam penjara pendeta berkenalan dengan seorang gadis , puteri salah seorang penjaga penjara . Gadis itu mengidap satu penyakit , lalu bapanya meminta kepada pendeta agar menyembuhkanya . Setelah diubati , tak lama kemudian gadis itu sembuh –sebagaimana yang diceritakan dalam riwayat itu- dan pendeta itu jatuh cinta kepadanya . Sebelum dihukum , pendeta telah mengirim kepada si gadis itu satu surat yang tertulis : " Dari yang tulus Valentine . " Sebelum kejadian itu juga gadis tersebut telah masuk agama Nasrani bersama 46 orang kerabatnya .

Riwayat ketiga menyebut bahawa suatu ketika agama Nasrani tersebar di Eropah , terdapat satu bentuk ritual keagamaan di salah satu kampung yang menarik perhatian para pendeta , di mana para pemuda desa berkumpul di pertengahan bulan Februari dalam setiap tahun . Mereka mencatat seluruh nama gadis desa lalu memasukannya ke dalam sebuah kotak . Setiap pemuda diberi kesempatan untuk mencabut satu nama , dan nama gadis yang keluar itulah yang akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun itu . Mereka pada ketika itu terus mengirim kepada si gadis sepucuk surat tertulis di atasnya : " Dengan menyebut nama Tuhan Ibu aku kirim kepadamu surat ini" . Hubungan cinta ini berlanjutan sehingga melewati satu tahun . Para pendeta memandang bahawa ritual tersebut dapat mengukuhkan akidah orang-orang Rom , dan mereka menyedari bahawa ritual ini sukar untuk dihapuskan , oleh itu mereka menetapkan untuk megubah kalimat yang diucapkan para pemuda itu dari " Dengan menyebut nama Tuhan Ibu " menjadi " Dengan menyebut pendeta Valentine " sebab ia adalah simbol Nasrani , dan dengan cara itu mereka dapat mengaitkan para pemuda ini dengan agama Nasrani .

Ada yang menyebut sejarah sambutan Hari Kekasih , termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia , kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari .

Itulah beberapa gambaran kisah disebalik Hari Kekasih atau Valentine Day dan semua berkaitan agama Nasrani atau Kristian .

Hukum Sambutan Valentine Day.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam .

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha . Ini sebagaimana yang firman Allah SWT.:

Bagi tiap-tiap umat , Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan , maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu ; dan serulah ( wahai Muhammad ) umat manusia kepada agama Tuhanmu , kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus .

Al-Hajj , 67

Anas bin Malik r.a berkata Nabi saw pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya . Pada kedua-duanya mereka bermain-main ( bergembira ) di masa jahiliah . Lalu baginda bersabda :

“ Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik , iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri . ”

 Hadis riwayat al-Nasaai , 959

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan RasulNya khusus untuk umat Islam . Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam , pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul , Israk Mikraj , Maal Hijrah , Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi .

Terdapat larangan daripada baginda saw untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya :

" Barangsiapa menyerupai satu kaum , maka dia termasuk golongan mereka . "

Hadis riwayat Imam Abu Dawud , 3512

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan , membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal .

Tentang hukum menyambut Hari Valentine , Syaikh al-‘Utsaimin berkata :
 
" Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine , maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir . 
Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain , maka orang itu telah melaksanakan dosa besar . ”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah swt memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan . Firman-Nya :
" Dan janganlah kamu menghampiri zina , sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ) . "

 Al-Israa’ , 32

Monday, 6 February 2012

Kasih Kekasih .

assalamualaikum sahabat . pernahkah anda mendengar lunaknya nyanyian kumpulan nasyid in team , kasih kekasih ? pernahkah anda menghayati setiap patah lirik dalam lagu ini ? jika tidak , insyaAllah ana ingin menghayati lagu ini bersama anda semua yang sedang hangat bercinta .



tak perlu aku ragui ,
sucinya cinta yang kau beri , 
kita saling kasih mengasihi ,
dengan setulus hati .

apakah anda masih meragui pasangan anda ? oleh kerana ingin mendapatkan kepercayaan sepenuhnya dari dia , adakah anda sanggup mengorbankan diri anda sendiri ? masyaAllah . inilah yang terjadi dengan remaja kita sekarang . untuk membuktikan ' kesucian cinta ' , mereka sanggup menggadai ' kesucian diri ' . remaja sekarang , mereka menunjukkan betapa mereka saling mengasihi sesama mereka sehingga dunia ini seolah olah mereka yang punya . salah . sememangnya salah cara mereka ini . apa yang dimaksudkan dengan cinta suci ini adalah apabila mereka benar benar bersedia untuk mendirikan masjid seteguh masjidil haram . apa yang dimaksudkan dengan saling kasih mengasihi dengan setulus hati adalah apabila mereka saling menyetujui untuk membina sebuah masjid seindah masjidil haram dengan menerima segala kebaikan dan keburukan pasangan mereka . sebenarnya , perasaan cinta ini indah kan ?



ayah ibu merestui ,
menyarung cincin di jari ,
dengan rahmat dari Ilahi ,
cinta kita pun bersemi .

zaman moden kini , kita tidak boleh lari dari hakikat sebenar . ramai yang bercinta dan memilih pasangan mereka sendiri . sudah lama menjalin cinta , sudah lama berjanji setia , setelah yakin barulah mereka pohon restu ibu bapa . tidak salah cara ini . asalkan mereka mentaati peraturan peraturan batasan pergaulan mereka . nah , kemudian dibawa pasangan bertemu orang tua . apabila mendapat restu , bersyukurlah . bagi yang tidak pula , jangan berhenti memohon doa walaupun mungkin anda fikir itu suatu yang mustahil untuk menjadi kenyataan , walhal tiada yang mustahil bagi kuasa Allah . awas ! jangan kita lupa . cinta itu rahmat dari Allah . jangan sesekali kita musnahkan rahmat itu . hargailah rahmat itu . menghargai bukan dengan cara menambahkan lagi bilangan anak luar nikah di Malaysia negara Islam ini . gunakanlah rahmat ini sebaik mungkin . setialah dalam hubungan , ikhlaslah dalam hubungan , cintalah hubungan kerana Allah , bukan kerana nafsu . kerana cinta itu dari Allah , bukan nafsu !



sebelum diijabkabulkan ,
syariat tetap membataskan ,
pelajari ilmu rumah tangga ,
agar kita lebih bersedia ,
menuju hari yang bahgia .

sekali lagi ditekankan di sini , sebelum diijabkabulkan syariat tetap membataskan . mungkin sesudah mendapat restu orang tua , atau mungkin selepas anda bertunang , anda merasakan anda semakin dekat dengan pasangan . ingatlah ! green light yang diberi ibu bapa bukanlah green light untuk ke lembah kemaksiatan . dekat anda dekat di hati , bukan di jasad . sentiasalah menjadi kekasih Allah agar kita menjadi musuh syaitan . insyaAllah . teguhkan tiang masjid , kemudian kukuhlah masjid anda . belajarlah , kuatkan iman , kumpul ilmu , insyaAllah anda dapat menjadi raja sehari untuk setiap hari anda bersama pasangan anda nanti . 



kau tahu ku merinduimu ,
ku tahu kau menyintaiku oh kasih ,
bersabarlah sayang ,
saat indah kan menjelma jua  .

tamakkah anda ? memang tamak jika anda menginginkan lebih dari apa yang sepatutnya anda peroleh . tidak cukup lagikah Allah sudah berikan perasaan indah untuk anda dan pasangan untuk dialami bersama ? perasaan saling rindu , saling cinta , saling sayang dan saling kasih . tidak cukup lagikah ? tidak bolehkan anda bersabar sehingga saat indah itu benar benar menjelma ? bersabarlah wahai sahabat . kerana sabar anda akan membuahkan hasil yang tersangat indah . anda mahu menunjukkan dan membuktikan cinta anda ? tunggulah sehingga bernikah . kerana di situlah lahir keistimewaan sebuah ikatan pernikahan . sebuah hubungan yang mengubah perbuatan keji menjadi mulia , dosa menjadi pahala , haram menjadi halal serta murka menjadi rahmat . insyaAllah .



kita akan disatukan ,
dengan ikatan pernikahan oh kasih ,
di sana kita bina ,
tulus cinta mahligai bahgia .

subhanallah . indahnya hidup jika benarlah anda akan mendapat anugerah ikatan pernikahan untuk hubungan dengan kekasih anda . indahkanlah ciptaan Allah . yakinlah dengan ketentuan Ilahi . jodoh itu ketentuan Allah . mohonlah dengan Allah . Allah tahu yang terbaik untuk anda . istikarahlah . mohon petunjuk dengan Allah . apabila hati sudah yakin , jangan sesekali berhenti berdoa . bersabarlah . suatu hari , anda dan pasangan anda akan disatukan . suatu hari nanti , si adam akan berkata " aku terima nikahnya " . maka setelah itu , terbinalah sebuah mahligai bahagia yang setelah sekian lama menjadi idaman bersama . anda hanya perlu menekan butang ' pause ' sementara belum tiba saat indah itu . percayalah , setelah anda ' play ' dengan hubungan yang halal , anda akan lebih menghargai erti sebuah pernikahan . anda akan mendapati nikmatnya cinta itu apabila tiba saatnya .


semoga cinta kita ,
di dalam redha Ilahi ,
berdoalah selalu ,
moga jodoh berpanjangan .

sahabat , jangan berhenti berdoa dan berharap kepada Allah , Tuhan yang satu . ana juga merupakan seorang remaja , ana juga tidak dapat lari dari perasaan cinta , semoga kesabaran kita ini menjadikan kita seorang yang berjihad ke jalan Allah . berdoalah , semoga perasaan cinta yang terdapat dalam hati kita mendapat keredhaan dari Allah . bertawakallah , semoga dia benar benar jodoh kita . bersabarlah , semoga dia menjadi jodoh pertama dan terakhir kita . bersujudlah , semoga dia menjadi jodoh yang terindah buat kita , di dunia dan di syurga kelak . insyaAllah .