scroll text

Jika anak Adam meninggal , maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara , sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat , dan anak soleh yang berdoa kepadanya .

Thursday 26 January 2012

Bahaya Fitnah

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah . Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah . Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya . Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah .



Firman Allah bermaksud :


“ Wahai orang yang beriman , jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita , maka selidik ( untuk menentukan ) kebenarannya , supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini , dengan sebab kejahilan kamu ( mengenainya ) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan . ” 

(  Surah al-Hujurat , 6 )

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya . Tetapi , disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan , banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu . Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan . Pada masa sama , perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu .



Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia . Justeru , dosa itu tidak akan diampunkan Allah , melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu . Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil . Sebab itu , perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan . Hakikatnya , dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga . Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

“ Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah . ” 

( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya . Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti .


Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan . Bagaimanapun , apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang , maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar . Dalam Islam , sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain . Menyebarkan berita benar tetap dilarang , inikan pula menyebarkan berita tidak benar .

Rasulullah SAW bersabda bermaksud : 

“ Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah ( mengumpat ) ? " 

Sahabat menjawab : 

" Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui . " 

Lalu Baginda meneruskan sabdanya :

" Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya . " 

Lalu ditanya oleh seorang sahabat :

" Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya ? "

Rasulullah bersabda lanjut : 

“Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya , jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya . ”

 ( Hadis riwayat Abu Hurairah )




Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :

 “ Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain . ” 

(Surah al-Hujurat , 12 )


Justeru , setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah . Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

No comments:

Post a Comment