scroll text

Jika anak Adam meninggal , maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara , sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat , dan anak soleh yang berdoa kepadanya .

Sunday 29 January 2012

Yakinlah Dengan Janji Allah .

Diceritakan pada suatu ketika yang lalu , terdapat seorang lelaki beriman yang soleh . Dia tidak disenangi oleh raja yang zalim kerana ketegasan dan keberaniannya menyuarakan kebenaran . Dia ditangkap dan disumbatkan dalam penjara dengan cara yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan .

Beberapa hari kemudian dia dilawati seorang pesuruh raja untuk meninjau keadaannya dalam penjara . Alangkah terkejutnya pesuruh tersebut apabila dia mendapati lelaki mukmin itu berada dalam keadaan tenang , riang dan gembira . Dia bertanya penuh kehairanan . Apakah rahsia kebahagiaannya sedangkan dia terkurung di dalam bilik sempit , dikelilingnya dinding serta tembok yang sepi ?

Mukmin yang soleh pun menjawab :

“ Setiap hari aku mengambil ubat yang terdiri daripada tujuh ramuan . Ubat itulah yang menjadikan aku seperti yang kau lihat . ”



Pesuruh itu bertanya dengan penuh kehairanan ingin mengetahuinya . 

“ Apakah ubat yang kau ambil dan apakah ramuannya ? ”

Mukmin soleh itu pun menjawab :

Ramuan Pertama :

  Aku yakin kepada Allah . Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa saja ketentuan Allah keatas diriku . Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku . Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik .


Ramuan Kedua :

 Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana . Tiada siapa dapat lari darinya . Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya . Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah , tidak merintih dan menyesalinya .


Ramuan Ketiga : 

Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah . Kejayaan dalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah . Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik di dunia dan di akhirat . Dengan itu aku tidak dihimpit kerisauan dan keluh kesah .



Ramuan Keempat : 

Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih ? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan , kerisauan, keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tak lena , makan tak selera dan ibadah tak bahagia .



Ramuan Kelima : 

Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang . Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini . Bukankah pepatah ada menyebut ‘ sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya ’ .



Ramuan Keenam : 

Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku . Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan , kefasikan atau kekufuran . Adapun musibah yang lain daripada itu , sama ada terhadap harta , anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja . Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya . Lantaran itu Rasulullah saw berdoa maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami” .



Ramuan Ketujuh : 

Dan yang akhir , sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah . Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil .
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Dan demikianlah Kami tukar gantikan hari-hari itu di antara manusia .”

( Ali- Imran , 140 )



Demikian besarnya erti keyakinan kepada Allah . Sesungguhnya apa yang dianggap oleh mukmin yang soleh itu merupakan menifestasi rahmat keyakinan yang dianugerahkan Allah kepadanya .
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“ Apa-apa rahmat yang dibukakan Allah kepada manusia , maka tidak ada yang akan dapat menahannya . Dan apa-apa yang ditahan-Nya , maka tidak ada yang akan dapat memberikannya selepas itu . Dia maha Perkasa lagi Maha Bijaksana . ”

Oleh itu untuk mendapat ciri-ciri mukmin sejati kita perlulah yakin kepada Allah , beriman sepenuhnya kepada Allah , pegangan yang mantap , kepercayaan yang utuh serta ketenangan hati yang padu terhadap keEsaan Allah , yakin sepenuhnya terhadap kekuasaan-Nya , kekuatan-Nya , keAgungan-Nya dan kebijaksanaan-Nya . Hidayah-Nya sahajalah yang sebenar-benar petunjuk . Tidak ada lagi selain daripada petunjuk-Nya kecuali kesesatan . Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah , Allah akan memeliharanya . Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya , sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba . Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik . Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa tiada permusuhan kecuali keatas orang-orang yang zalim .


No comments:

Post a Comment